suria

Pekerja kontraktor TNB maut... Motosikal dirempuh pemandu tiada lesen, disyaki mabuk

Keadaan motosikal mangsa yang hancur dilanggar sebuah kereta. -Foto Ihsan PDRM

SEORANG pekerja kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu oleh lelaki dalam keadaan mabuk, pada malam Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 8.50 malam di Jalan Jeram, Masjid Tanah, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Syairazi Rahmat, 24, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Menurutnya, mangsa yang menunggang Yamaha 135LC dalam perjalanan dari Masjid Tanah menuju Kuala Sungai Baru, manakala pemandu kereta model Proton Wira yang berusia 34 tahun itu pula dari arah bertentangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Myvi mabuk langgar lampu merah, gilis kaki pelajar direman

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta itu memasuki ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa secara berhadapan.

"Perlanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh kakitangan perubatan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Ashari, pemandu kereta tersebut turut mengalami kecederaan di kepala dan dibawa ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.

Ujarnya, siasatan awal polis mendapati pemandu berkenaan tiada lesen memandu dan disyaki mabuk.

Beliau berkata, sampel darahnya turut diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Melaka bagi ujian alkohol dan dadah.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk mengesan saksi bebas.

"Semua kenderaan terbabit dibawa ke Puspakom (Pusat Pemeriksaan Berkomputer) untuk pemeriksaan," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan