suria

Hina hidung macam babi, jirus air ke muka bayi! Dr Say menyesal bagi ‘maid’ Filipina peluang kedua, banyak perbuatan jahat terbongkar

Dr Say membuat pengakuan susulan perbuatan salah seorang pembantu rumahnya.

BELUM reda insiden pembantu rumah mengasari anak ketiga berusia kira-kira 10 bulan, pempengaruh media sosial dan doktor selebriti, Dr Say Shazril menerima tamparan hebat apabila dikritik mengenai isu tanggungjawab dan keibubapaan.

Segelintir netizen mempersoalkan tindakan Dr Say membiarkan ketiga-tiga anak lelakinya dijaga dua pembantu rumah semasa ketiadaannya dan isteri, Dr Azura Abas yang pergi bercuti di luar negara.

Susulan itu, Dr Say atau nama sebenarnya Dr Muhammad Shazril Shaharuddin tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Perbuatan pembantu rumah warga Filipina dirakaman menerusi CCTV.

"Saya terima kecaman, teguran, nasihat anda semua dan saya akur saya bodoh sebab mudah percayakan orang lain. Saya sepatutnya buang maid Filipina tu pada kejadian lepas.

"Sebab sebelum insiden tu, saya tengok dia baik. Tak pernah minta keluar rumah langsung pada hari cuti.

"Tapi selepas dia dah dibuang ni, baru saya dapat tahu dia cakap hidung anak saya macam babi. Dia selalu cubit anak saya dan dia periksa balik nak tengok ada kesan lebam ke tak. Apabila mandikan baby, dia terus jirus seluruh muka dan bukannya mandikan perlahan-lahan," katanya menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Lepas bawa lelaki masuk bilik, maid kasari anak pula! Isteri tergerak hati tengok CCTV, Dr Say akui silap beri peluang kedua

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pakai baju, sembunyi dalam selimut... Dr Say tangkap ‘maid’ bawa masuk 2 lelaki - “Buat ‘projek’ sambil anak saya di tengah!”

Mengulas lanjut, Dr Say berkata dia dan isteri akan memperbaiki kelemahan mereka sebagai ibu bapa demi anak-anak, terutamanya apabila berada di luar kawasan.

"Lepas ni kalau saya dan isteri nak pergi bercuti ataupun outstation untuk bekerja, kami akan bawa semua anak sekali atau letak anak-anak di rumah famili sekali dengan helper.

"Saya akui semua ni berpunca daripada kelalaian sendiri, dan saya tak rasa diri saya lebih baik daripada sesiapa di luar sana.

"Saya terima kecaman ni sebagai satu pengajaran besar untuk saya perbaiki diri saya dan untuk tidak mudah tinggalkan anak saya sewenang-wenangnya," ujarnya.

Dr Say dan isteri, Dr Azura menerima teguran dan nasihat masyarakat.

Dalam pada itu Dr Say berkata dia dan isteri bersyukur kerana anak-anak tidak mengalami sebarang kecederaan kekal susulan insiden dikasari pembantu rumah berkenaan.

"Kalau ada yang rasa kecewa dengan saya... saya minta maaf. Saya betul-betul menghargai semua teguran dan nasihat daripada anda semua," katanya lagi.

Pada Khamis, Dr Say mendedahkan insiden dakwaan anaknya dikasari itu berlaku kurang empat bulan selepas pembantu rumah sama ditangkap kerana membawa dua lelaki tidak dikenali masuk ke rumah.

Dr Say sebelum ini mendapatkan kerjasama polis bagi menyerbu bilik pembantu rumahnya.

Berkongsi cerita kepada mStar, Dr Say berkata, perkara itu disedari isterinya yang ketika itu bersamanya di Pulau Pinang bagi memenuhi jemputan untuk menyampaikan ceramah pada pagi Sabtu, 16 November lalu.

Dr Say turut memaklumkan pembantu rumah warga Filipina berkenaan sudah diambil oleh agensi sementara menunggu tindakan menghantarnya pulang ke negara asal pada minggu depan, termasuk pembatalan permit kerja.

Pada Julai lalu, mStar melaporkan Dr Say berdepan detik cemas apabila rumahnya dimasuki dua tetamu tidak diundang pada waktu malam.

Mereka dibawa masuk sendiri oleh dua pembantu rumahnya, masing-masing warga Indonesia dan Filipina yang ketika itu sedang menjaga anak ketiganya di tingkat bawah kediamannya di Bangsar, Kuala Lumpur.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain