SEORANG pelajar senior Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan juniornya dengan memijak perut menggunakan spike boot bulan lalu Menerusi prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat, Tertuduh Mohd Aidil Mat Awang Ghani, 22, membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim. Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Haziq Iqbal, 19, apabila bertindak memijak perut mangsa dengan memakai kasut but (spike boot). ARTIKEL BERKAITAN: Lagi kes buli UPNM, suspek didakwa di mahkamah esok ARTIKEL BERKAITAN: Lagi kes buli di UPNM... Pelatih tahun 1 retak tulang rusuk dan tulang belakang, dipercayai dipijak senior Kesalahan didakwa dilakukan di padang kawad, akademi latihan ketenteraan UPNM pada pukul 10.45 malam, 21 Oktober lalu. Pertuduhan mengikut seksyen 323 kanun keseksaan itu boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman kebangsaan (YBGK) Nurul Diyana Basher. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang menganggu saksi dan mangsa. Sebutan semula kes ditetapkan 10 Februari 2025. Pada Khamis, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan seramai 16 saksi dipanggil untuk rakaman percakapan bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian. mStar sebelum ini melaporkan pelatih tahun satu institusi berkenaan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang pada 21 Oktober sejurus namanya dipanggil di tepi padang kawad. Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berikutan kecederaan yang dialami. UPNM sebelum ini tular dengan beberapa insiden berkaitan buli dengan kes terbaharu membabitkan seorang pelajar senior dituduh di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pegawai kadet junior dengan menekap seterika wap panas pada dada kanan bulan lalu. Susulan pendakwaan, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Egusra Ali. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube