suria

Lans Koperal didakwa curi rantai, gelang emas daripada tubuh mayat

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri barang kemas milik wanita yang meninggal dunia dalam sebuah kereta. -Foto Bernama

SEORANG anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mencuri barang kemas milik wanita yang ditemukan meninggal dunia, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Alifah Mohd Sapie yang berpangkat Lans Koperal membuat pengakuan itu ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret M S Arunjothy pada Jumaat.

Tertuduh yang berusia 35 tahun didakwa mencuri dua barang kemas berupa seutas rantai leher dan rantai tangan milik Nur Farhana Nisha Syazwan, 26, wanita yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta, pada pukul 2.40 pagi, 1 Oktober lalu.

Bapa kepada lima cahaya mata itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan dalam sebuah kereta di tepi jalan Prima Setapak, Wangsa Maju.

Mohd Alifah didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadir tutup muka dengan kain... Pegawai kanan polis didakwa membunuh Zaharif

Terdahulu, peguam mewakili tertuduh Lavinia Raj memohon jaminan memandangkan tertuduh mempunyai lima anak kecil termasuklah yang sedang bersekolah.

Menurut peguam, tertuduh hanya berpendapatan RM2,500 sebulan.

Arunjothy kemudiannya membenarkan jaminan RM3,500 sebelum menetapkan 22 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang pesara polis, Syazwan Abddulah, 59, membuat laporan berhubung kehilangan barang kemas milik anaknya.

Syazwan berkata, dia mendapati barang kemas milik anaknya hilang selepas jenazah dikebumikan.

Susulan laporan yang dibuat, empat anggota polis berumur antara 28 dan 35 tahun di tahan di sekitar Setapak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain