SEORANG warga Myanmar mengaku bersalah atas tuduhan mengorek keluar bebola mata seorang lelaki tempatan ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth pada Jumaat. Tertuduh, Murtabis, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Penolong Pendaftar, Mohamad Azrul Muhd Sobri. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada M. Gunalan, 52, di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor, pada pukul 2 petang, 16 November lalu. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. Sementara itu, di mahkamah yang sama, Murtabis turut mengaku bersalah atas pertuduhan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Simpang Tiga, Tasek Gelugor, kira-kira pukul 3 petang pada hari yang sama. ARTIKEL BERKAITAN: Ngeri! Bebola mata kiri lelaki terkeluar, dikorek warga asing dalam pergaduhan ARTIKEL BERKAITAN: Bebola mata dikorek keluar, lelaki gaduh dengan warga asing mungkin alami cacat kekal Bagi kesalahan ini, dia didakwa di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, serta tidak lebih daripada enam sebatan. Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Tiada jaminan dibenarkan kerana tertuduh bukan warganegara. Mahkamah menetapkan 13 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes. Untuk rekod, mStar pada 17 November lalu melaporkan seorang lelaki warga asing bertindak agresif dengan mengorek keluar mata kiri seorang lelaki warga tempatan, menggunakan tangannya. Mata kanan mangsa turut dicederakan dalam insiden pergaduhan di sebuah flat di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor. Difahamkan, ia berpunca daripada tindakan mangsa berusia 52 tahun yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk, mengganggu suspek. Mangsa yang berada dalam keadaan kritikal dihantar ke Hospital Kepala Batas. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube