suria

Isteri dan keluarga Daim terus disiasat... SPRM tak henti jejak aset luar negara

SPRM meneruskan siasatan ke atas Allahyarham Daim dan keluarganya.

SIASATAN dan jejak kewangan aset milik Allahyarham Tun Daim Zainuddin akan diteruskan, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, SPRM menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan kes melibatkan bekas menteri kewangan itu.

"Siasatan ini turut melibatkan isteri Allahyarham, Toh Puan Na'imah Abdul Kadir, serta ahli-ahli keluarganya, yang mana siasatan tertumpu kepada perolehan aset-aset di luar negara.

"Penyelidikan jejak kewangan (money trail) di luar negara sedang giat dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Jelas SPRM, pihaknya membuka beberapa kertas siasatan pada Februari 2023 berdasarkan maklumat yang didedahkan dalam Pandora Papers.

"Siasatan ke atas maklumat dalam Pandora Papers ini membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan pada masa itu, yang mana Allahyarham memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

"Seperti yang dinyatakan dalam Kenyataan media SPRM bertarikh 30 Disember 2023, satu Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dikeluarkan kepada Allahyarham pada 7 Jun 2023.

"Notis ini mengkehendaki Daim mengisytiharkan semua aset miliknya di dalam dan luar negara secara bertulis dan melalui akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis," menurut kenyataan itu lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Allahyarham Daim lepas, bebas kes gagal isytihar harta

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Daim meninggal dunia

Namun kata SPRM, Allahyarham memohon lanjutan untuk melengkapkan pengisytiharan aset tersebut. sebanyak lima kali,

SPRM kemudiannya memberikan lanjutan pada 6 Julai 2023, 10 Ogos 2023, 11 September 2023, 11 Oktober 2023 dan 14 November 2023.

Pada 29 Januari lalu, Daim didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 atas pertuduhan gagal mematuhi notis terakhir kerana tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta dan satu akaun bank.

Namun selepas Allahyarham meninggal dunia pada 20 November lalu, SPRM berkata Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas dan membebaskan Daim daripada pertuduhan gagal mematuhi notis tersebut mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

"Walau bagaimanapun, siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) berkaitan kes ini masih diteruskan," ujar SPRM lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain