POLIS menahan seorang lelaki selepas disyaki merogol teman wanitanya yang berusia 14 tahun di sebuah kawasan perumahan di Balung, Tawau di Sabah pada 16 November lalu. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek seorang penganggur berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau kira-kira pukul 1.30 di sekitar kawasan Balung pada Rabu. Menurutnya, tangkapan dilakukan apabila laporan polis dibuat ibu mangsa pada Rabu lalu kira-kira pukul 4.36 petang, selepas mangsa mengadu tentang hal berkenaan. “Hasil siasatan awal, mangsa telah tinggal bersama di rumah suspek yang juga merupakan teman lelakinya sebelum melakukan perbuatan itu,” katanya. Jelas Jasmin, suspek ditahan dan dibawa ke IPD Tawau dan kes disiasat di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan. Selain itu, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan perbuatan seksual terhadap seorang kanak-kanak. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan kerana merogol. Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihak polis mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak membiarkan anak-anak tanpa pengawasan, terutamanya dengan individu yang tidak dikenali atau kurang dipercayai. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube