SEORANG lelaki berusia 41 tahun ditahan selepas didapati mencuri barang kemas emas daripada majikannya di sebuah kedai emas di Taman Daya, Johor Bahru, Johor. Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kehilangan sebentuk cincin emas 16 gram yang dianggarkan bernilai RM5,814 pada 16 November lalu dikesan melalui rakaman kamera keselamatan yang dipasang suspek sendiri. “Suspek kemudiannya menggadaikan cincin yang dicuri itu di sebuah kedai barang kemas di Johor Baru dengan harga RM4,950. “Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek pada Jumaat di Ulu Tiram,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. Raub menambah, beberapa barang yang dirampas dalam tangkapan itu termasuk pakaian, kasut dan resit pajak gadai. “Semakan latar belakang mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. “Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Sabtu hingga 26 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube