IBU bapa kepada kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam usaha mereka untuk menggugurkan pertuduhan pengabaian kanak-kanak itu. Peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf berkata, representasi itu dihantar pada 19 November lalu untuk AGC mempertimbangkan bagi menarik balik atau menggugurkan pertuduhan terhadap kedua-dua mereka. Dalam pada itu, Fahmi turut memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan 6 Disember untuk mendapatkan perkembangan mengenai representasi itu di hadapan hakim, Dr Syahliza Warnoh. Perbicaraan ditetapkan selama 15 hari bermula Januari tahun depan yang mana tarikh tersebut adalah 20 hingga 24 Januari, 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari. Pada 13 Jun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah di atas pertuduham bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa Zayn Rayyan bakal harungi 15 hari perbicaraan bermula Januari tahun depan... Pihak pendakwaan bawa 15 saksi Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Damansara Damai di Petaling Jaya pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada pukul 9.55 malam. Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai. Bedah siasat mendapati terdapat kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube