SUSULAN bencana banjir yang melanda negara pada masa ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan cuti semua anggota Jemaah Menteri dibekukan. Perdana Menteri turut menegaskan supaya kesemua anggota terlibat untuk turun padang ke kawasan bencana. "Semua menteri diminta teruskan tugas sekarang, turun (ke lapangan). Ya (cuti dibekukan)," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Pudina, Presint 17 di Putrajaya. Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada cuti semua anggota Jemaah Menteri dibekukan berikutan bencana banjir ketika ini. Terdahulu, Perdana Menteri tiba kira-kira pukul 1 tengah hari di Surau Pudina disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, bagi meluangkan masa menyertai lebih 500 jemaah menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah bertajuk Tuntutan Mengimarah Rumah Allah. Solat Jumaat diimamkan Ustaz Asyraf Ibrahim. Beliau juga sempat meluangkan masa makan tengah hari bersama penduduk setempat di Medan Selera Taman Warisan Pertanian dekat sini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube