PROJEK tanaman Bawang Rose Ehsan di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya mengukir sejarah tersendiri apabila berjaya menunai hasil bawang pertama negeri berjumlah 32 tan. Jumlah berkenaan merangkumi empat tan bagi satu ekar dan adalah yang tertinggi dalam negara dengan fasa pertama membabitkan lapan ekar. Exco Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, bawang yang benihnya diperoleh dari India itu dihasilkan menggunakan teknologi internet kebendaan (IoT). Ir Izham memaklumkan dianggar setiap seorang rakyat Malaysia menggunakan 1.2 kilogram bawang setahun. Ia melalui proses penanaman yang mengambil masa 135 hari. “Projek ini dilaksanakan di tanah seluas 25 ekar secara keseluruhan di Selangor Fruit Valley dengan fasa pertama melibatkan lapan ekar. Untuk fasa pertama ini, kita berjaya hasilkan empat tan bawang per ekar. “Kita menggunakan benih dari India yang berkualiti tinggi serta mempunyai daya tahan terhadap penyakit,” katanya pada sidang media selepas Majlis Tuaian Fasa Pertama Projek Tanaman Bawang. Fasa pertama penanaman Bawang Rose Ehsan membabitkan lapan ekar tanah di Selangor Fruit Valley. Mengulas lanjut, Izham berkata permintaan tinggi terhadap bawang menyebabkan Selangor mengambil langkah memulakan tanaman sendiri selain sebagai salah satu usaha mengurangkan kebergantungan terhadap hasil import. Ia ditambah dengan situasi yang dialami sebelum ini menyaksikan negara pengeluar seperti India melarang eksport bawang ke Malaysia hingga menjadi faktor mendorong Selangor mengambil inisiatif menghasilkan tanaman sendiri. Semua hasil tanaman bawang akan dijual di pasaraya Ehsan Mart dan Sri Ternak. “Berdasarkan rekod, dianggar setiap seorang rakyat di negara ini makan 1.2 kilogram bawang setahun. Ia adalah satu angka yang tinggi. "Jadi kita cuba tanam bawang sendiri walaupun pada mulanya memang ada keraguan untuk hasilkan secara berterusan,” katanya. Tambahnya, semua hasil tanaman bawang ini akan dijual di semua pasaraya Ehsan Mart dan Sri Ternak, dengan sasaran keuntungan RM32,000 bagi seekar. Kerjasama PKPS dan KPKM ini kita dapat lihat ia membuahkan hasil yang sangat baik dengan tuaian kita melebihi tuaian di tempat-tempat lain. DR MOHD KHAIRIL MOHAMAD RAZI Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas kepercayaan serta sokongan. "Program ini adalah kerjasama antara PKPS yang mewakili kerajaan negeri bersama KPKM. Kita dapat lihat kerjasama ini membuahkan hasil yang sangat baik dengan tuaian kita melebihi tuaian di tempat-tempat lain. "Ia dibantu dengan penggunaan teknologi, sistem irigasi dan jarak tanaman yang lebih dekat. Kita berjaya buktikan tanggapan bawang sukar ditanam di Malaysia hingga perlu diimport adalah salah," katanya. Izham (empat kiri) dan Mohamad Khairil (empat kanan) meninjau projek tanaman Bawang Rose Ehsan. Beliau berkata persediaan bagi fasa berikutnya melibatkan tanah seluas lapan ekar sudah dilakukan dan proses penanaman akan bermula pada Januari depan. "Manakala fasa ketiga membabitkan sembilan ekar bagi melengkapkan keseluruhan 25 ekar tanaman bawang akan dibuat beberapa bulan selepas itu," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube