suria

Ibu kandung disyaki simbah anak 10 tahun dengan air panas... Ada kesan lecur, lebam

Seorang kanak-kanak perempuan dipercayai disimbah dengan air panas oleh ibunya. -Gambar hiasan

SEORANG wanita berusia 32 tahun ditahan kerana disyaki menyimbah anak perempuannya berusia 10 tahun dengan air panas di rumah mereka di Kampung Tengah, di Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian itu terbongkar selepas guru besar mangsa membuat laporan polis.

"Pada 28 November lalu, guru besar berkenaan dimaklumkan bahawa salah seorang murid di sekolahnya mengalami kecederaan parah di bahagian belakang badan.

"Pemeriksaan lanjut pada badan mangsa mendapati kesan lebam di kaki kanan, kesan melecur di kaki kiri dan kesan tumbukan di pipi kiri mengakibatkan lebam," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Bahrin berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku di rumah mangsa pada 26 November lalu.

"Berdasarkan maklumat yang diberikan, polis menahan seorang suri rumah berusia 32 tahun di Kampung Tengah," katanya sambil menambah semakan mendapati wanita itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Berdasarkan laporan perubatan hospital, katanya, mangsa mengalami kecederaan 'alleged child abuse by biological mother, sustained well-healed burn injury over back'.

Suspek kini direman selama enam hari bermula Selasa sehingga 8 Disember depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain