RAKYAT Malaysia di Korea Selatan dinasihatkan untuk mengambil langkah keselamatan biasa berikutan penguatkuasaan undang-undang tentera kini ditarik balik di seluruh negara, kata Kementerian Luar Negeri. "Rakyat Malaysia yang tinggal atau sedang berada di negara itu agar terus mengambil langkah keselamatan biasa dan kekal berwaspada. "Orang ramai juga digalakkan untuk mengikuti panduan serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan," menurutnya dalam satu kenyataan pada Rabu. Tambah kenyataan itu, rakyat Malaysia di Korea Selatan dinasihatkan untuk mendaftar kehadiran mereka menerusi sistem E-Konsular bagi memudahkan pemberian bantuan sekiranya diperlukan. Menurut Wisma Putra, mereka yang mahu mendapatkan sebarang bantuan menghubungi Kedutaan Malaysia di No 129, Dokseodang-ro, Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul 04419, Republik Korea. Mereka juga boleh menghubungi melalui nombor telefon +82-2-2077 8600 (talian umum) dan +82-2-794 5488 atau emel ke [email protected]. "Kementerian akan terus memantau keadaan," menurut kenyataan itu. Ia susulan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol pada Rabu berkata, undang-undang tentera akan ditarik balik, beberapa jam selepas beliau membuat pengisytiharan mengejut itu. Beberapa jam sebelum itu, beliau berundur daripada perselisihan dengan Parlimen yang menolak bulat-bulat percubaannya untuk mengharamkan aktiviti politik dan menapis media. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube