suria

Padah hina bangsa Melayu, Makcik Kemboja didenda RM40,000

Makcik Kemboja mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh.

USAHAWAN Mariyah Yaakob atau ‘Makcik Kemboja’ didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas kesalahan menghina bangsa Melayu sebagai pemalas dalam satu hantaran video di media sosial pada tahun lalu.

Mariyah mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman pada Jumaat.

Bagaimanapun anak lelaki kepada usahawan itu, Ezuan Hafsham Mohd Hisyam yang dibicarakan atas pertuduhan sama dibebaskan dengan bon sebanyak RM10,000, dia turut mengaku bersalah di depan hakim.

Hakim memerintahkan Mariyah dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut, namun tertuduh berkemampuan untuk melangsaikannya.

Kes Makcik Kemboja meraih perhatian rata-rata rakyat Malaysia.

Terdahulu, mengikut pertuduhan, Mariyah didakwa menggunakan aplikasi TikTok bagi mengeluarkan pernyataan yang merendah-rendahkan bangsa Melayu.

"Orang Kemboja memang pandai berniaga kan, betul tak? Dan orang Kemboja memang rajin, nak dibandingkan dengan orang Melayu, malas," ujar Mariyah dalam video berkenaan.

Video itu dikeluarkan kira-kira pukul 6 petang pada 16 November tahun lalu di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai, Ayer Keroh.

Mariyah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Makcik Kemboja berbaju merah ke mahkamah, tangan digari... Dua beranak mengaku tak bersalah kes hina Melayu

Sementara itu, Ezuan Hafsham didakwa secara sedar menggunakan aplikasi TikTok di alamat sama untuk membuat video yang memaparkan ibunya mengeluarkan kenyataan jelik terbabit antara 14 hingga 16 November tahun lalu.

Pendakwaan Ezuan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Namun, peguam kepada kedua-dua tertuduh, Kamal Hisham Jaafar dalam rayuannya meminta hukuman diringankan terhadap anak guamnya kerana pengakuan salah telah menjimatkan masa mahkamah.

Justeru hakim bersetuju memerintahkan Mariyah membayar denda sebanyak RM40,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu, manakala Ezuan dibebaskan dengan bon sebanyak RM10,000.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain