JABATAN Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan oleh ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang memohon supaya tuduhan pengabaian anak terhadap mereka disemak dan ditarik balik.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh, menerusi prosiding pada pagi Jumaat.
Raja Zaizul memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk membincangkan permohonan dokumen tambahan oleh pihak pembelaan.
Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf dilihat hadir untuk prosiding kes dan mereka diwakili peguam yang baru dilantik, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.
Pada prosiding 18 September lalu, mahkamah memutuskan untuk mendengar perbicaraan selama 15 hari dalam tiga minggu berturut-turut, iaitu pada 20 hingga 24 Januari, 3 hingga 7 Februari, dan 17 hingga 21 Februari 2025.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa Zayn Rayyan kemuka representasi mohon semak, gugur pertuduhan abai anak
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa Zayn Rayyan bakal harungi 15 hari perbicaraan bermula Januari tahun depan... Pihak pendakwaan bawa 15 saksi
Pada 26 November 2024, peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili pasangan itu menyatakan bahawa representasi dihantar pada 19 November dengan tujuan untuk meminta pihak pendakwaan menarik balik atau menggugurkan tuduhan terhadap mereka.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa mengabaikan anak mereka yang menghidap autisme di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, Selangor.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Damansara Damai di Petaling Jaya pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya (6 Disember) pada pukul 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube