KES pembunuhan seorang pelajar tingkatan lima yang dirempuh oleh kereta dipandu pegawai kanan polis sehingga maut pada 15 Disember tahun lalu berkemungkinan diklasifikasikan sebagai trauma death (kematian trauma). Memetik Harian Metro, pakar perubatan forensik, Dr Ain Nurfarahana Hamdan berkata mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie tidak terus meninggal dunia selepas dilanggar. Dr Ain Nurfarahana Hamdan merupakan saksi pendakwaan ke-24 yang menghadiri prosiding di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak pada Khamis. Peguam bela, M Athimulan berkata mangsa meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas dilanggar yang turut dipersetujui oleh pakar perubatan forensik berkenaan, sekali gus mencadangkan ia adalah kematian trauma. Athimulan seterusnya bertanyakan kepada Dr Ain Nurfarahana sekiranya mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati itu boleh diselamatkan jika diberikan rawatan segera. "Setuju dengan saya, trauma death boleh dicegah dengan menyediakan fasiliti dan akses rawatan yang betul, cepat serta efektif kepada orang yang cedera?" soal Athimulan. "Secara am saya setuju," jawab Dr Ain Nurfarahana di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet ketika pemeriksaan balas pada hari ke-13 prosiding perbicaraan kes. Pakar perubatan forensik itu turut bersetuju dengan cadangan peguam bela terbabit bahawa kematian mangsa merupakan trauma death. "Ya," jawab Dr Ain Nurfarahana Hamdan ringkas. Tertuduh iaitu Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak didakwa membunuh mangsa di Jalan Taman Jati antara pukul 12.05 tengah hari dan 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023. Pegawai kanan polis itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube