PENGASAS platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan pecah amanah membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta. Kedua-dua mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rosli Ahmad. “Faham, mengaku tidak bersalah,” kata Vivy dan Fadzaruddin yang hadir ke mahkamah pada Khamis. Pertuduhan pecah amanah itu berkaitan dengan transaksi berjumlah RM8 juta pada 2018 tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn Bhd. Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama, yang mana membawa hukuman penjara minimum dua tahun sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan. ARTIKEL BERKAITAN: FashionValet: Vivy Yusof, suami akan didakwa Khamis ini ARTIKEL BERKAITAN: Vivy Yusof, suami tiba di pejabat SPRM bantu siasatan kerugian RM43.9 juta pelaburan FashionValet Vivy dan suami diminta membayar wang jaminan sebanyak RM100,000 setiap seorang selain menyerah passport dan lapor diri sebulan sekali di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ashok Athimulan. Sebelum Hakim menetapkan jumlah wang jaminan, peguam tertuduh iaitu Ashok Athimulan meminta supaya ia dapat dikurangkan atas beberapa faktor. “Aset mereka sudah dibekukan. Kini mereka bergantung bantuan kewangan ahli keluarga dan rakan untuk bayar wang jaminan. “Kekangan ini juga mudarat perbelanjaan harian mereka termasuk empat anaknya. Jumlah (wang jaminan) yang tinggi seolah-olah menghukum mereka. Saya mohon jaminan yang munasabah ditetapkan,” ujarnya. Sebutan semula mengenai kes tersebut ditetapkan pada 22 Januari 2025. Pada Rabu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pasangan tersebut didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. Pertuduhan itu berkaitan dengan kerugian pelaburan membabitkan Khazanah dan PNB dalam Fashion Valet, berjumlah RM43.9 juta. Terdahulu, SPRM mengesan beberapa transaksi yang mencurigakan semasa siasatan terhadap kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang itu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube