DAKWAAN mengenai kebocoran data kad pengenalan atau MyKad milik 17 juta rakyat Malaysia adalah tidak benar, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN). Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah membuat semakan selepas tularnya dakwaan itu. "Dakwaan itu timbul daripada seorang pengguna media sosial, dia pamerkan beberapa MyKad yang dia kata 17 juta, tapi pamer beberapa keping. Media sosial kecoh dengan dakwaan kebocoran data MyKad. "Saya segera semak, pertama dengan JPN bahagian berkenaan yang kedua, dengan bahagian keselamatan teknologi maklumat, kedua-duanya mengesahkan tiada insiden itu," ujar Saifuddin. Dia berkata demikian menerusi satu sidang media pada Rabu. Dalam pada itu, Saifuddin turut meminta orang ramai agar berhati-hati dalam menerima maklumat yang tidak sahih. "Kita minta rakyat agar berhati-hati apabila menerima maklumat seperti ini. ARTIKEL BERKAITAN: Data MyKad 17 juta rakyat Malaysia didakwa bocor, benarkah dijual di laman web gelap? "Mudah sekali sebar apabila tunjuk beberapa keping MyKad lepas tu kata 17 juta, lebih baik tidak disebarkan berita ini," ujarnya. Terdahulu, media melaporkan tular satu hantaran di laman X yang mendakwa data 17 juta MyKad sedang dijual di laman web gelap. Hantaran itu dibuat menerusi akaun Fusion Intelligence Center @ StealthMole pada Selasa. Dalam hantaran itu, akaun tersebut mendakwa pelanggaran data secara besar-besaran menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh membawa kepada jenayah serius seperti kecurian identiti dan penipuan kewangan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube