BANJIR yang melanda Pantai Timur menjadi medan untuk orang ramai termasuklah golongan usahawan serta pempengaruh membantu mangsa. Paling mencuri tumpuan tentunya Khairulaming yang menggerakkan pasukannya untuk membantu puluhan ribu mangsa banjir di Kelantan. Tidak terkecuali, peniaga nasi lemak udang galah tular di Terengganu iaitu Juraida Mamad yang turut bersama keluarganya membantu mangsa banjir di negeri itu. Juraida meredah banjir demi menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa yang terjejas. Ketika dihubungi mStar, Juraida berkata dia menutup kedainya selama tiga hari bagi memberi fokus terhadap misi bantuan itu. "Saya tutup kedai selama tiga hari walaupun rumah dan kedai saya tak dinaiki air. Kalau berniaga, pasti ada je yang membeli, tapi saya pilih untuk tutup sebab tengok banyak rumah kawan-kawan dah banjir. "Bila saya buka TiKTok dan Facebook, saya tengok ada kawan-kawan yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Biasanya kalau baru pindah, bantuan belum sampai lagi. Stok lobster mencukupi, cuma kekurangan sotong sebab nelayan tak turun ke laut. JURAIDA MAMAD "Jadi saya berpakat dengan adik beradik, kumpul duit untuk infak makanan. Saya infak nasi lemak, keluarga saya infak nasi goreng," ujar pemilik kedai Umi Nasi Lemak itu. Menurut Juraida, dia dan keluarganya mengagihkan makanan di lima PPS serta sekolah tahfiz di sekitar Dungun yang terjejas teruk akibat bencana berkenaan. Perkongsiannya mengenai misi itu di media sosial mendapat maklum balas yang baik apabila ramai pengikutnya turut menyalurkan bantuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir. ARTIKEL BERKAITAN: Bekas akauntan gembira jual nasi lemak lobster, ada pelanggan sanggup berbelanja sampai RM1,200 ARTIKEL BERKAITAN: Isteri minta diasingkan daripada suami di PPS, tak kisah derhaka! Geram sebab enggan pindah walau rumah nak tenggelam Dalam pada itu, Juraida berkata dia kembali berniaga pada Rabu dan merancang untuk meneruskan misi bantuan selepas mangsa banjir pulang ke kediaman masing-masing. "Hari ini (Rabu) cuaca mendung, tak hujan, Saya dah mula berniaga. Stok lobster mencukupi, cuma kekurangan sotong sebab nelayan tak turun ke laut. Insya-Allah, saya akan teruskan bantuan selepas mangsa banjir balik rumah. "Sekarang saya tengah kumpul dana. Nak bagi bantuan seperti sabun, penyapu, toto (tilam) untuk dihantar ke rumah-rumah mangsa banjir. Kami nak hantar terus ke rumah mereka," ujarnya lagi. Juraida kembali berniaga pada Rabu dan merancang meneruskan bantuan selepas mangsa banjir pulang ke rumah. Sementara itu, Juraida berkata dia tidak mengharapkan pujian orang ramai, sebaliknya ikhlas memberi bantuan kerana sedih memikirkan ramai keluarga terjejas akibat banjir. "Saya tak fikir (rugi) tutup kedai tiga hari. Saya bantu secara ikhlas. Saya juga tak mengharapkan pujian. Memang selalunya kami akan buat (bantuan banjir). "Tiap-tiap tahun adik saya buat, biasanya dia yang uruskan. Kali ini dia ajak saya juga," ujar bekas akauntan itu lagi. Untuk rekod, Juraida pernah mendapat liputan mStar pada Oktober lalu selepas kisahnya yang berniaga nasi lemak berlaukkan udang galah dan sotong gergasi tular di media sosial. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube