SEORANG individu dipercayai anggota polis yang lengkap berseragam didakwa melakukan isyarat lucah ketika bertugas mengawal selia satu protes mengenai hak asasi manusia di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Perkara itu didedahkan oleh seorang jurugambar wanita yang membuat liputan ke atas protes berkenaan.
Menurut wanita itu, ketika kejadian dia sedang mengambil gambar suasana di sekitar lokasi protes tersebut dan anggota polis terbabit cuba mendapatkan perhatiannya dari jauh.
"Anggota polis itu membuat isyarat lucah kepada saya. Saya dapat tangkap (perbuatan itu) dalam kamera saya. Isyarat ini diulang beberapa kali untuk memastikan saya nampak dia.
Kejadian turut diperhatikan oleh rakan kepada anggota polis terbabit.
"Ketika itu saya sedang berdiri seorang diri di tangga jejantas. Saya pasti dia tujukan kepada saya. Anggota di sebelahnya turut menyaksikan perbuatan ini dan hanya gelak," dakwa wanita itu menerusi satu hantaran di laman Instagram.
Berdasarkan foto yang dikongsikan wanita tersebut, dapat diperhatikan anggota polis berkenaan melakukan isyarat tangan yang berbaur lucah, dipercayai menjurus ke arah seks oral.
Tambah wanita itu, secara sepintas lalu dia dapat melihat anggota terbabit berkemungkinan mempunyai cincin kahwin pada jarinya.
"Saya sudah dinasihatkan oleh beberapa pihak untuk membuat laporan rasmi mengenai insiden ini, saya sedang mempertimbangkannya. Ada banyak perkara yang saya boleh kupas mengenai kejadian ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Sarjan polis rogol remaja tingkatan 4 dua kali di tempat letak kereta akhirnya ditahan
"Apa-apa pun ia adalah satu kelakuan yang menjijikkan, terutamanya daripada seorang anggota polis yang merupakan badan beruniform dan sedang bertugas. Lebih-lebih lagi dilakukan terhadap orang awam.
"Tak sangka seorang anggota polis boleh terlintas dalam fikirannya untuk melihat saya sebagai objek seksual. Ini bukan lawak jenaka, tetapi gangguan seksual.
"Pendedahan ini diharap dapat menyedarkan masyarakat bahawa ia adalah satu perbuatan yang tidak normal, tindakan sedemikian tidak wajar dibiarkan menjadi kebiasaan," ujarnya.
Dalam pada itu, wanita berkenaan turut berkongsikan foto penampilan dirinya pada waktu kejadian iaitu t-shirt berkolar lengan panjang dan seluar 'slack' longgar, membuktikan pemakaiannya tidak mencolok mata.
Jurugambar mendakwa melihat cincin kahwin pada jari anggota polis berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, seorang warga maya tampil membuat pengakuan mendakwa dirinya pernah berurusan dengan anggota polis yang sama.
"Saya pergi balai polis untuk buat laporan mengenai kes gangguan seksual, masa tu anggota polis ni yang bertugas, jadi dia pegang kes saya.
"Sepanjang siasatan dijalankan, anggota polis tu banyak telefon saya untuk bertanyakan soalan yang kurang senonoh, seperti payudara saya besar mana dan warna apa.
"Sebab takut sangat, akhirnya saya tarik semula laporan polis tu," dakwa pelayar terbabit.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube