POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima 24 laporan berkaitan penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan yang melibatkan seorang usahawan dan pempengaruh media sosial dikenali sebagai Kim Seri. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memaklumkan jumlah kerugian yang dilaporkan setakat ini dianggarkan hampir mencecah RM500,000 ringgit. “Mangsa dinasihatkan untuk segera membuat laporan polis di balai berhampiran bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis. Menurut Ramli siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM454,450. Selain itu, beberapa kes juga telah dirujuk ke agensi berkaitan seperti Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia. ARTIKEL BERKAITAN: Kim Seri mohon maaf, janji buat bayaran balik... Minta pelanggan sabar, tak dapat langsai semua sekali gus ARTIKEL BERKAITAN: Servis pakej pelancongan teruk, rupanya TikToker Kim Seri ‘burn out’ lepas jadi ibu tunggal... Penat terkejar-kejar urus banyak bisnes Pada Rabu Kim Seri, 39, atau nama sebenarnya Seri Azlina membuat permohonan maaf secara terbuka dan berjanji untuk memulangkan semula wang pelanggan yang terjejas susulan isu berkaitan pakej pelancongan ke Korea Selatan. Tambahnya, dia akan terus memberi komitmen untuk menyelesaikan bayaran balik selewat-lewatnya pada 1 Februari 2025. Sebelum ini, tular video di media sosial dimuat naik seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa skandal pakej pelancongan ke Korea Selatan yang dikendalikan Kim Seri. Wanita tersebut bersama kumpulannya mendakwa mereka terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan selepas mendapati tiada tiket penerbangan seperti yang dijanjikan. Hasil semakan di kaunter tiket turut mengesahkan nama mereka tiada dalam sistem tempahan. Bagaimanapun wanita tersebut berjaya pulang ke Malaysia pada Selasa dengan bantuan seorang individu. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube