suria

Belasah kawan bergilir-gilir di kolej kediaman, 12 pelajar UMT direman

Kesemua suspek direman untuk membantu siasatan.

SERAMAI 12 pelajar dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes belasah rakan di kolej kediaman universiti berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd. Zaki Wan Ismail berkata, 12 pelajar yang berusia antara 20 hingga 22 tahun itu ditahan sekitar pukul 6 petang Selasa selepas polis menerima laporan daripada bapa mangsa.

"Polis menerima laporan daripada seorang lelaki dari Melaka mendakwa anaknya yang berusia 20 tahun telah dipukul secara bergilir-gilir oleh beberapa pelajar lelaki di kolej kediaman.

"Anak lelaki pengadu turut menghantar beberapa keping gambar kecederaan dialami di beberapa anggota badan dalam kejadian antara pukul 1 hingga 5 pagi pada 15 Disember lalu," katanya pada Rabu.

Menurut Wan Mohd Zaki, bapa mangsa yang tinggal di Taman Seri Duyung, Melaka tiba di Kuala Terengganu pada 16 Disember dan terus membawa anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.

Siasatan awal mendapati terdapat kesan lebam dan kecederaan dalaman pada badan mangsa akibat dipukul oleh objek tumpul.

"Kesan kecederaan terdapat pada bahagian lengan kiri dan kanan, pinggang kanan, dada, perut dan kaki sebelah kanan mangsa," katanya.

Tambahnya, pihak polis turut merampas senjata yang digunakan suspek di kolej kediaman tersebut.

"Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terenganu pada Rabu untuk perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain