SEORANG lelaki warga emas maut selepas terlibat kemalangan jalan raya di Kilometer 56.5, Jalan Batu Pahat-Mersing, Johor. Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Hussin berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan yang melibatkan dua kereta itu sekitar pukul 9 pagi pada Rabu. Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Patrick Lau Yuen Heng, berusia 78 tahun, manakala seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan ringan merupakan guru sekolah dikenali sebagai Hafiz Muhamad, 34 tahun. "Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa warga emas itu sedang dalam perjalanan dari Bandar Kluang menghala ke Taman Megah, mangsa kedua pula datang dari Batu 3 ke Bandar Kluang. "Sewaktu di lokasi kejadian, mendiang dikatakan membelok ke kanan secara mengejut untuk memasuki Jalan Serindit manakala seorang lagi pemandu sedang bergerak terus ke depan. "Kereta mendiang dirempuh pada bahagian kiri menyebabkan kenderaannya terbalik," kata Nik Mohd Azmi. Mendiang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala manakala mangsa kedua yang mengalami kecederaan ringan sedang menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube