suria

Kim Seri mohon maaf, janji buat bayaran balik... Minta pelanggan sabar, tak dapat langsai semua sekali gus

Kim Seri membuat permohonan maaf susulan rungutan para pelanggan.

TERUS dilanda kontroversi, pempengaruh yang juga usahawan Malaysia yang dikenali sebagai Kim Seri kini didakwa pula terlibat dengan penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan.

Susulan beberapa rungutan dan dakwaan, Kim Seri tampil membuat permohonan maaf serta mengakui timbulnya masalah berkaitan pakej pelancongan yang dikendalikannya.

"Kepada semua pelanggan yang saya hormati, pertama sekali saya ingin meminta maaf dengan setulus hati atas segala kebimbangan dan kesulitan yang telah saya timbulkan.

"Saya sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah ini," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Instagram Story miliknya, Selasa.

Bagaimanapun kata Kim Seri, dia memohon pelanggan yang terlibat supaya bersabar dan memahami proses bayaran balik akan mengambil masa.

"Saya memohon agar anda dapat memahami bahawa pada masa ini, saya tidak dapat untuk melunaskan jumlah pemulangan secara sekali gus.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kim Seri.

"Namun begitu, saya ingin memberi jaminan bahawa saya akan menyelesaikan masalah ini melalui pelan pembayaran iaitu semua jumlah tertunggak akan dibayar sebelum atau pada 1 Februari 2025.

"Saya berjanji akan memikul tanggungjawab sehingga akhir dan memohon kerjasama serta kefahaman anda semua," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Servis pakej pelancongan teruk, rupanya TikToker Kim Seri ‘burn out’ lepas jadi ibu tunggal... Penat terkejar-kejar urus banyak bisnes

Pada Selasa, media melaporkan, seramai 10 individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan yang dikendalikan usahawan yang juga pempengaruh itu, membuat laporan polis.

Mereka mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan oleh pempengaruh dikenali sebagai Kim Seri, yang menawarkan pakej selama lima hari, dengan harga kira-kira RM4,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman pada Rabu mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan berhubung perkara itu.

"Setakat semakan dibuat mendapati ada lima laporan polis dibuat (berhubung dakwaan penipuan itu)," katanya pada Rabu.

Pada November lalu, Kim Seri menjadi bualan hangat selepas menerima kecaman warga maya kerana syarikat ejen pelancongan miliknya didakwa memberi perkhidmatan yang teruk bagi pakej travel ke Korea Selatan.

Kim Seri tampil membuat permohonan maaf dan mengakui kelemahan daripada pihak pengurusan syarikatnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain