PERBUATAN jijik seorang lelaki cuba merakam gambar dari bawah kain seorang wanita di sebuah pasar raya minggu lalu mencetuskan kemarahan netizen selepas video itu tular di media sosial. Dalam kejadian itu, mangsa lingkungan usia 20-an sedang memegang troli di satu sudut pasar raya di di Jenjarom, Kuala Langar, Selangor sebelum menyedari tindakan mencurigakan suspek. Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan gangguan seksual itu sekitar pukul 10.36 pagi pada 9 Disember lalu. “Ketika kejadian, mangsa sedang membeli-belah bersendirian sebelum menyedari dirinya dirakam seorang lelaki tempatan. "Mangsa kemudian memeriksa rakaman CCTV pasar raya dan mendapati suspek cuba mengangkat kain dan merakam bahagian bawah pakaiannya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin. Dalam rakaman berdurasi 25 saat itu, kelihatan mangsa memakai jubah hitam bercorak sedang leka menggunakan telefon bimbit ketika kejadian. Jelas Akmalrizal, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil. Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222 atau melaporkannya di balai polis berdekatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube