suria

‘The Shudokan’ terima Anugerah Muhibbah NPC... Pusat latihan dojo Aikido berjaya semai keharmonian perpaduan kaum

Penerima Anugerah Muhibbah iaitu Ramlan Ortega Shihan (empat dari kiri) bersama Sharanjit Singh (tiga dari kiri) dan Kenny Goh (tiga dari kanan) bersama jurulatih dojo Aikido.

PUSAT latihan seni mempertahankan diri yang berasal dari Jepun iaitu dojo Aikido telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Muhibbah Kelab Akhbar Kebangsaan-MACROKIOSK untuk bulan Disember.

Terletak di Seremban, Negeri Sembilan, pusat yang dikenali sebagai “The Shudokan”, merupakan dojo Aikido pertama di Malaysia dan di luar Jepun yang berjaya melatih ribuan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama.

Selama lebih 63 tahun ia beroperasi, pusat ini tidak mengenakan sebarang yuran sebaliknya hanya token sumbangan.

Dojo Aikido 2

Ramlan (tengah) bangga memegang sijil penghargaan yang diberikan kepadanya oleh Sharanjit Singh (kiri) dan Kenny Goh.

Anugerah yang diberikan ini kerana kejayaannya menjadi contoh terbaik dalam usaha memupuk perpaduan, penghormatan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai latar belakang selama 63 tahun.

“Dedikasi tenaga pengajarnya dalam meneruskan legasi Thamby Rajah Sensei, pengasas dan Bapa Aikido Malaysia, untuk memupuk sahsiah, disiplin, dan persahabatan melalui seni mempertahankan diri adalah bukti nilai yang mengikat kita sebagai sebuah bangsa.

“Meskipun anugerah hari ini merupakan penutup kepada siri kedua Anugerah Muhibbah, saya berharap ia menjadi inspirasi untuk terus membina Malaysia Muhibbah,” ujar Bendahari Kehormat, Kelab Media Kebangsaan (NPC), Sharanjit Singh pada majlis penyampaian anugerah itu di Wisma Conlay, Kuala Lumpur pada Selasa.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MACROKIOSK, Datuk Kenny Goh dan Ketua Pengajar Aikido Shudokan Malaysia, Ramlan Ortega Shihan serta para jurulatihnya.

Penerima anugerah memperoleh sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM2,000.

Dalam pada itu Kenny memuji The Shudokan sebagai institusi cemerlang yang berjaya membentuk generasi muda Malaysia melalui seni mempertahankan diri.

The Shudokan

Inilah antara latihan yang dilakukan di dojo Aikido, Seremban. - Foto: FB The Shudokan.

“Aikido bukan sekadar melatih kemahiran seni tersebut, tetapi turut menanamkan nilai hormat, ketabahan, dan semangat muhibah dalam kalangan generasi muda.

“Pengaruh The Shudokan terhadap anak muda sangat besar, mempersiapkan mereka menjadi individu dan pemimpin yang berwawasan,” katanya.

Ramlan pula berkata, anugerah yang diterima memberi motivasi kepada mereka untuk terus menyatukan masyarakat dan menjadikan Aikido sebagai jalan keharmonian.

“Inilah makna sebenar semangat muhibah bagi kami sebagai jurulatih. Diterajui oleh Joe Thambu Shuseki Shihan, kami bertekad untuk meneruskan warisan yang dirintis oleh Thamby Rajah Sensei ini,” katanya.

Tambahnya, Aikido bukan sahaja membentuk disiplin fizikal dan mental tetapi juga membantu individu menguruskan tekanan dan konflik, menjadikannya satu set kemahiran yang berharga dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Untuk rekod, sejarah The Shudokan bermula dari Thamby Rajah Sensei, rakyat Malaysia pertama yang memperoleh tali pinggang hitam dalam Judo dan Aikido ketika menjalani latihan di Jepun pada 1950-an.

Nama The Shudokan, yang bermaksud “Tempat Memperhalusi Jalan Hidup”, diberikan oleh Shioda Gozo Soke, pengasas Aikido Yoshinkan.

Seni mempertahankan diri ini menekankan konsep harmoni dan mengalihkan tenaga lawan berbanding menyerang secara langsung.

Ia menumpukan pada teknik kawalan, keseimbangan, serta pergerakan bulatan untuk mengelakkan serangan dan mengawal lawan tanpa mencederakannya.

Artikel Lain