suria

Warga emas putih mata wang simpanan RM2.1 juta lesap

Seorang peniaga pakaian ditipu dalam pelaburan yang tidak wujud. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki warga emas berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM2.1 juta selepas terlibat dalam pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa berusia 70 tahun dan merupakan peniaga pakaian memaklumkan dirinya dimasukkan dalam kumpulan pelaburan menerusi aplikasi WhatsApp mengenai iklan pelaburan mata wang asing yang menjanjikan pulangan lumayan, pada November lalu.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu dan berurusan dengan admin grup berkenaan bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai pelaburan.

"Percaya dengan keuntungan segera yang dijanjikan kepadanya, mangsa telah membuat pembayaran secara berperingkat ke beberapa akaun bank antara November hingga awal Disember 2024, dengan jumlah keseluruhan RM2.1 juta," katanya.

Kumar berkata, mangsa juga mengikut arahan suspek untuk memuat turun aplikasi yang diarahkan dan membuat akaun di aplikasi tersebut bagi memantau pelaburannya.

"Selepas bayaran dibuat, mangsa mendapati pelaburannya di aplikasi mencatatkan keuntungan mencecah RM6.2 juta.

"Mangsa mahu menjual kembali saham tersebut tetapi tidak berjaya dan wang hasil keuntungan pelaburan itu juga tidak dapat dikeluarkan," katanya sambil menambah mangsa menyedari dirinya ditipu kemudian membuat laporan polis.

Menurut Kumar, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain