PEMANDU Mercedes Benz yang tular terlibat dalam kes langgar lari sebelum keretanya terbakar berdekatan sebuah plaza tol di ibu negara dihadapkan ke mahkamah, pada Rabu. Lelaki berusia 34 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur. Tertuduh, Sum Kah Fei, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Haneefa Ariffin. Insiden berlaku di Kilometer 18 Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) kira-kira pukul 12.35 tengah hari Ahad lalu. Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu secara melulu sehingga berlaku pelanggaran dengan sebuah motosikal sehingga menyebabkan mangsa cedera parah. Pertuduhan itu mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 termasuk hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan kesalahan akan dimasukkan pada lesen memandu, jika sabit kesalahan. ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Mercedes GLE450 langgar lari sudah ditahan! Penunggang motosikal cedera di kepala, muka dan perut Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa gagal menghentikan kenderaannya selepas terbabit kemalangan dengan motosikal ditunggang mangsa. Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama pada tarikh dan masa yang sama. Pertuduhan mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibaca bersama Seksyen 119(1)(a) akta pengangkutan jalan 1987 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjarakan tidak melebihi enam bulan. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari 2025 bagi serahan dokumen. Terdahulu, media melaporkan mengenai kemalangan antara sebuah Mercedes Benz dengan motosikal Honda Vario 160 yang mengakibatkan penunggang motosikal tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah. Video kemalangan itu tular di media sosial yang mana menunjukkan pemandu kereta tersebut didakwa melarikan diri dari lokasi kejadian. Kemudiannya, muncul satu lagi video lain, memaparkan kereta Mercedes-Benz dengan nombor pendaftaran sama terbakar berdekatan plaza tol. Kereta tersebut musnah terbakar, namun pemandunya selamat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube