KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi pada Khamis membebaskan dan melepaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan elak cukai disifatkan sebagai 'hadiah bermakna' sempena bulan kelahirannya. Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu tidak dapat menahan sebak ketika meluahkan rasa lega selepas enam tahun prosiding berlangsung. "Peguam saya telah memberi jaminan sejak hari pertama bahawa tuduhan ini tidak berasas, tetapi kita tidak boleh pasti. "Pembebasan saya pada hari ulang tahun saya bukan sahaja hadiah yang bermakna buat saya, tetapi juga hadiah untuk Bossku (Najib). "Inilah yang saya katakan sebagai keadilan," katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding selesai. Pada Khamis, Hakim K. Muniandy mengeluarkan perintah pembebasan dan pelepasan kepada Rosmah ke atas semua 17 pertuduhan dalam kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Keputusan tersebut dibuat berikutan pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Rosmah adalah cacat dan mengelirukan. Pada 2018, Rosmah, 72, dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 2013 dan 2018. Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama. Sementara pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018. Dia didakwa melakukan semua kesalahan tersebut di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018. Rosmah diwakili oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Amer Hamzah Arshad. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube