SEORANG pemandu bas ekspres parah, manakala lapan yang lain mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) di Ayer Keroh, Melaka. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada pukul 10.38 pagi Rabu. Menurut beliau, insiden tersebut melibatkan 15 mangsa, terdiri daripada 13 lelaki dan dua wanita. "Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati lapan kenderaan terlibat iaitu bas, dua kenderaan pacuan empat roda, tiga lori, kereta Perodua Myvi dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV. "Pemandu bas lelaki mengalami kecederaan parah, manakala lapan yang lain mengalami kecederaan ringan," katanya. Mohd Pisar berkata, enam individu lain yang turut terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan semua mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan. Sementara itu, pemandu lori, Ahmad Tarmizi Maan, 33, berkata, kemalangan berlaku ketika dia berhenti di persimpangan lampu isyarat. "Saya sedang menunggu lampu isyarat merah dan tiba-tiba saya mendengar dentuman kuat dari belakang, sebelum menyedari sebuah lori yang membawa kotak telah merempuh lori saya. "Beberapa saat kemudian, lori itu dilanggar oleh beberapa kenderaan lain," katanya. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube