POLIS membuka kertas siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita dan bayi yang dipercayai baru dilahirkan di Jalan Impiana Lima, Taman Impiana, Kulai di Johor pada Selasa pagi. Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, berkata kes disiasat di bawah Seksyen 316 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. "Balai Polis Kelapa Sawit menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 8.15 pagi mengenai penemuan seorang wanita yang terbaring bersama bayi di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa malam. Susulan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai dan Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bergegas ke lokasi kejadian. Hasil siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai warga asing dan ditemui terbaring di tepi jalan bersama bayi masih mempunyai tali pusat yang belum dipotong. Pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia serta mendapati tiada kecederaan luaran pada mereka. Mayat wanita dan bayi tersebut dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian. Polis menyeru mana-mana saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Arun Ramamoorthy di talian 013-3332385 atau hadir ke balai polis berdekatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube