suria

Tragedi berdarah lepas balik majlis bertunang... Tukang masak maut, bayi kritikal MPV dinaiki bertembung lori

Keadaan MPV yang dinaiki lapan individu remuk teruk selepas bertembung dengan sebuah lori.

SEORANG tukang masak maut, manakala seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan kritikal apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di KM86 di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Kluang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, ketika kejadian yang berlaku pada pukul 7.15 malam Ahad itu, MPV yang membawa lapan individu dari Muar itu dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis pertunangan.

"Siasatan awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki berusia 53 tahun itu dalam perjalanan dari arah Machap ke Ayer Hitam apabila hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

"Lori itu kemudian melanggar bahagian kanan MPV berkenaan menyebabkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan serius," katanya pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis! Kereta hilang kawalan, masuk laluan bertentangan... Kemalangan libat 5 mangsa

Bahrin menambah, pemandu lori itu mengalami kecederaan di kepala dan dada dan sedang dirawat di Hospital Pantai di Batu Pahat.

"Seorang penumpang wanita dikenali sebagai Widiani Afendi cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan turut mengalami kecederaan serius di kepala dan kini dirawat di zon merah Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang," katanya.

Beliau menambah, empat lagi individu termasuk pemandu MPV berusia antara enam hingga 58 tahun, mengalami kecederaan ringan dan sedang dirawat di hospital sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut menyeru mereka yang mempunyai maklumat agar menghubungi talian hotline polis Kluang di talian 07-7766822. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain