suria

Istana Pahang sahkan wujud Titah Adendum untuk Najib... Surat bertarikh 4 Januari tular di media sosial

Surat berkenaan digunakan pasukan Najib ketika prosiding pendengaran rayuan bekas perdana menteri itu.

SEPUCUK surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan bahawa wujudnya Titah Adendum bagi membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman penjara dalam tahanan rumah tular di media sosial pada Isnin.

Surat bertarikh 4 Januari 2025 yang dihantar kepada anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar itu ditandatangani Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

Sumber daripada Istana Pahang juga memperakui kesahihan surat terbabit.

Arahan untuk Najib yang juga bekas perdana menteri itu dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Saya bagi pihak Kebawah Duli Paduka Baginda Pahang selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 dengan ini memperakui bahawa Titah Adendum Kebawah Duli Paduka Baginda termaksud adalah wujud dan sahih," demikian berdasarkan surat terbabit.

Surat itu menjelaskan bahawa Al-Sultan Abdullah selaku YDPA ke-16 menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (House Arrest) melalui Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Sementara itu di Mahkamah Rayuan Putrajaya, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyertakan surat itu ketika mengemukakan permohonan Najib untuk memasukkan bukti tambahan dalam rayuannya untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung Titah Adendum.

Untuk rekod ,Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau ada memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain