PAKAR menjangkakan kepimpinan Malaysia dalam Asean pada 2025 meningkatkan integrasi serantau dan transformasi digital di tengah-tengah situasi geopolitik global.
Penganalisis percaya kepimpinan ini juga akan mengukuhkan lagi komitmen Asean terhadap dasar berkecuali dan tidak memihak.
Pengasas Emir Research, Datuk Seri Dr Rais Hussin, menekankan kepentingan Malaysia menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)+China yang pertama.
“Inisiatif ini berpotensi meningkatkan peranan Asean dalam membentuk dialog antara wilayah berkaitan perdagangan, tenaga dan kerjasama keselamatan, sekali gus mengukuhkan kedudukan blok ini,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa langkah tersebut akan menyerlahkan dasar ‘neutraliti aktif’ Malaysia dalam mengimbangi hubungan dengan negara-negara Barat dan China.
“Pengukuhan hubungan dengan GCC dan China, di samping mengekalkan hubungan erat dengan rakan-rakan dialog lain, akan memperkukuh kedudukan tawar-menawar Asean.
“Pendekatan multipolar ini meletakkan Asean sebagai perantara atau penghubung dalam hal ehwal global, sekali gus mengurangkan kerentanan terhadap persaingan kuasa besar,” katanya sambil menambah langkah ini juga akan membantu Asean mempelbagaikan hubungan ekonomi dan strategiknya.
Felo kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Dr Azmi Hassan, turut bersetuju dengan pandangan itu dan menyatakan bahawa Sidang Kemuncak Asean-GCC+China akan memperluaskan aktiviti perdagangan di rantau ini.
“Kepimpinan Malaysia seiring dengan usaha mengintegrasikan sidang kemuncak serantau dan mengetepikan perbezaan geopolitik dalam Asean serta kuasa besar lain, termasuk negara Eropah,” tambahnya.
GCC terdiri daripada Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sebelum ini, dilaporkan Sidang Kemuncak Asean-GCC dan Sidang Kemuncak Asean-GCC+China di Kuala Lumpur dijadualkan berlangsung pada Mei.
Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia merangka tiga keutamaan strategik untuk Asean apabila mengambil alih kepimpinan pada 2025.
Sidang Kemuncak Asean-GCC dan Sidang Kemuncak Asean-GCC+China di Kuala Lumpur dijadualkan berlangsung pada Mei.
Ia termasuk memperkukuh rantaian nilai serantau dan kerjasama peraturan, mengukuhkan asas ekonomi negara anggota serta menstruktur dan menyesuaikan semula ekonomi mereka dengan memanfaatkan kelebihan masing-masing.
Anwar juga menekankan mengenai kepentingan memperluaskan hubungan perdagangan dan pelaburan serta memacu transformasi digital di rantau ini.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perniagaan Asean-India (AIBC), Nivas Ragavan, berkata, kepimpinan Malaysia membuka peluang untuk mengukuhkan rantaian nilai serantau di tengah perubahan ekonomi global.
“Dengan ketegangan geopolitik mendorong kepelbagaian rantaian bekalan, Asean berada dalam kedudukan strategik untuk menjadi hab pengeluaran yang berdaya tahan,” katanya, sambil menambah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan dasar perdagangan baharu serta rangka kerja perdagangan digital.
Nivas turut mencadangkan agar Asean memperkemas perdagangan rentas sempadan melalui platform digital dan rangka kerja peraturan yang bersatu, seperti Tingkap Tunggal Asean (ASW) dan perjanjian perdagangan digital yang diperluas, bagi mengurangkan kerenah birokrasi.
“Kepimpinan Malaysia harus mendorong Asean ke arah penerimaan rangka kerja pelaburan hijau yang jelas, memberikan insentif kepada projek tenaga boleh diperbaharui serta melaksanakan amalan rantaian bekalan lestari.
“Dasar ekonomi Asean harus memberi keutamaan kepada integrasi PKS dalam rantaian nilai serantau dengan menyediakan akses kepada pembiayaan, teknologi dan inisiatif pembangunan kapasiti,” katanya.
Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Ahmad Yazid Othman pula memberitahu bahawa kepimpinan Malaysia seharusnya memastikan transformasi digital memberi manfaat kepada semua perniagaan, bukan hanya syarikat-syarikat besar.
“Kepimpinan Asean oleh Malaysia adalah peluang strategik untuk mempromosikan dasar ekonomi yang lebih kukuh, memperkasakan perniagaan, memacu keterangkuman digital serta meletakkan Asean sebagai blok ekonomi global yang kompetitif,” katanya.
Ahmad Yazid menekankan keperluan dasar yang disasarkan untuk menyokong perniagaan tempatan, dengan mengambil kira cabaran seperti ketidakseimbangan ekonomi dan persaingan dengan syarikat multinasional.
“Kami menjangkakan Asean, di bawah kepimpinan Malaysia, akan memberi tumpuan kepada strategi yang praktikal dan berpaksikan tindakan bagi memberikan manfaat sebenar kepada perniagaan di peringkat akar umbi.
“Ini termasuk usaha menyeragamkan peraturan perdagangan di seluruh Asean bagi mengurangkan kos pematuhan, terutamanya untuk PKS,” katanya, sambil menambah akses pasaran ke sektor utama seperti kewangan Islam dan teknologi digital juga harus diperluaskan.
“Kepimpinan Malaysia mesti memberi keutamaan kepada pemerkasaan rangka kerja Komuniti Ekonomi Asean (AEC) dengan cara yang memberi manfaat kepada perusahaan bersaiz sederhana, bukan hanya syarikat multinasional besar," ujarnya.