suria

Acara hiburan dihadiri lelaki menyerupai wanita... Jakim hubungi MCMC, panggil pihak berkaitan

Antara lelaki yang didakwa berpakaian seperti wanita menghadiri ke sebuah acara hiburan.

KONTROVERSI yang timbul dalam sebuah acara hiburan pada Ahad malam apabila dihadiri lelaki berpakaian seperti wanita mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, Jakim mengambil perhatian serius terhadap isu yang tular mengenai lelaki Muslim berpakaian menyerupai wanita semasa sebuah acara program hiburan yang menimbulkan keresahan dan menyentuh sensitiviti agama Islam serta budaya di Malaysia.

Menurutnya, Jakim sudah menghubungi pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang bertanggungjawab mengawal selia industri komunikasi dan multimedia di negara ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Jakim turut akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, katanya, Jakim menyeru semua pihak agar sentiasa peka, menghormati nilai-nilai serta sensitiviti agama di Malaysia.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan berharap agar perlakuan seumpama ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.

"Sesungguhnya, Islam adalah agama rahmah dan menyantuni fitrah manusia yang menginginkan hiburan. Malah hiburan juga sebagai salah satu elemen yang membawa kepada kegembiraan, kesejahteraan dan memupuk nilai-nilai murni.

"Namun, perlu dibatasi dengan adab dalam berhibur agar tidak bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islam," katanya.

Artikel Lain