suria

Suspek kes tembak di mall Setia Alam maut berbalas tembakan dengan polis di hotel

Suspek (kiri) melepaskan beberapa das tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, minggu lalu.

SUSPEK kes tembak di pusat beli-belah Setia Alam, mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di sebuah hotel di Pulau Ketam pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Selangor menyerbu hotel tersebut kira-kira pukul 3 pagi (18 Feb).

"Berlaku tembak-menembak dengan suspek di salah sebuah bilik hotel. Suspek berusia dalam lingkungan 30-an dan maut dalam kejadian berbalas tembakan itu," katanya.

Beliau menambah, dua pucuk pistol bersama peluru turut dirampas di bilik hotel itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penembak ‘mall’ Setia Alam berkulit cerah, usia 30-an... Maklumat risikan, CCTV bantu polis jejak suspek

"Suspek mempunyai tujuh rekod lampau kerana mencuri dan kesalahan berkaitan dadah. Kami percaya suspek bertanggungjawab dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam," katanya lagi. 

Terdahulu dalam insiden yang berlaku pada 8 Februari lalu, seorang lelaki yang mempunyai beberapa rekod jenayah dikenal pasti sebagai individu bersenjata yang melepaskan beberapa das tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam.

Insiden berkenaan menyebabkan seorang pekerja pembersihan warga asing di pusat beli-belah tersebut cedera terkena tembakan di kaki dan punggung.

Suspek kemudian menuju aras P2 pusat beli-belah itu dan melepaskan beberapa lagi das tembakan ke arah pintu gelongsor sebelum ke kawasan parkir.

Suspek melarikan diri dengan menahan sebuah kereta Ativa dan memaksa pemandunya membawa dia keluar dari kawasan pusat beli-belah itu, dan menurunkannya di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di susur keluar Pandamaran.

Artikel Lain