KEHADIRAN Syawal yang bakal disambut pada tahun ini memberi makna cukup mendalam kepada kira-kira 700 keluarga berpendapatan rendah sekitar Kedah apabila mereka terus berpeluang menerima sumbangan skim bantuan bulanan antara RM100 hingga RM300.
Ia diagihkan oleh Persatuan Khidmat Ummah (PKU) yang diasaskan oleh pendakwah bebas Ustaz Wadi Anuar selepas berjaya mengutip sumbangan kira-kira RM300,000 daripada dermawan yang terdiri daripada ahli perniagaan dan individu tertentu.
Pengarah program berkenaan yang juga Bendahari PKU, Kuala Muda iaitu Nurhazzida Abd Rahim berkata, sumbangan diberikan kepada golongan asnaf termasuk anak yatim, ibu tunggal, keluarga orang kurang upaya (OKU) serta ahli keluarga bergaji bawah RM1,500 yang memilki anak ramai.
Ustaz Wadi (kanan) menerima sumbangan berupa RM50,000.
“Seramai 700 keluarga berpendapatan rendah dan mereka yang layak menerima bantuan sekitar Kuala Muda dan Kedah memperoleh inisiatif ini hasil daripada sumbangan pelbagai pihak.
“Kira-kira RM300,000 berjaya dikumpul namun permohonan seterusnya ditutup disebabkan kemampuan kewangan hanya untuk 700 keluarga sahaja,” katanya dalam siaran media kepada mStar pada Isnin.
Majlis berkenaan diadakan di dewan Akademi Darul Ilmi, Sungai Petani, Kedah pada Sabtu lalu yang turut dihadiri penyanyi Apex Tajudin.
Dalam pada itu Ustaz Wadi turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang kerana membantu PKU dalam usaha meringankan beban mereka yang memerlukan.
Antara dermawan dan mereka yang terlibat dalam Persatuan Khidmat Ummah bergambar bersama Ustaz Wadi (tengah).
Ini kerana katanya, Ramadan adalah bulan yang menuntut umat Islam melipatgandakan amalan termasukah aktiviti bersedekah.
“Rasulullah adalah manusia paling dermawan, dan Baginda lebih banyak bersedekah di bulan Ramadan. Inilah bulan untuk kita merebut peluang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Bersedekahlah, walaupun sedikit, kerana setiap sumbangan yang ikhlas pasti ada ganjarannya di sisi Allah,” katanya yang juga pengerusi pertubuhan itu.