PENIPUAN cinta alam maya (love scam) semakin berleluasa, menyebabkan mangsa terjejas teruk dari segi emosi dan kewangan.
Dalam usaha menangani isu ini, pakar mencadangkan pendekatan yang seimbang bagi memastikan penyedia platform lebih bertanggungjawab tanpa menghalang inovasi.
Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Selvakumar Manickam berkata, proses pengesahan identiti dalam aplikasi janji temu boleh membantu menghalang penipu (scammer) daripada mencipta akaun palsu.
Namun, beliau mengingatkan bahawa peraturan semata-mata tidak mencukupi untuk menghapuskan penipuan secara menyeluruh.
"Scammers (penipu) sangat licik dan peraturan yang terlalu ketat boleh menyekat inovasi atau membebankan platform kecil.
"Apa yang penting adalah mencari keseimbangan tepat dan menilai manfaat keselamatan lebih tinggi berbanding risiko kawal selia berlebihan dan kesan tidak dijangka.
"Namun, apabila kerajaan mengambil kira impak emosi, kewangan dan fizikal akibat penipuan ini, keutamaan harus diberikan kepada keselamatan pengguna," katanya.
Selvakumar menegaskan bahawa kesedaran awam masih menjadi kunci dalam menangani isu ini dan platform janji temu harus memainkan peranan lebih besar dalam membendung love scam.
Beliau menggesa kerajaan untuk membangunkan kempen kesedaran menggunakan pelbagai medium bagi mendidik orang ramai tentang tanda-tanda amaran penipuan dalam talian dan cara melindungi diri.
"Kempen ini perlu menyasarkan kumpulan yang lebih terdedah seperti warga emas, kanak-kanak atau mereka yang baru berjinak dengan dunia siber.
"Bekerjasama dengan sekolah, pusat komuniti dan organisasi yang dipercayai boleh membantu meluaskan jangkauan serta kesan mesej yang disampaikan," katanya.
'Love scam' boleh menbjejaskan emosi dan kewangan. -Gambar hiasan
Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy pula menekankan kepentingan pemerkasaan pengguna melalui kawalan privasi yang lebih baik.
Beliau menggesa penyedia platform untuk melaksanakan ciri keselamatan kukuh, memantau kandungan berbahaya dan menyediakan sistem laporan yang jelas kepada pengguna.
"Semua pihak berkepentingan perlu melabur secara signifikan dalam kempen keselamatan dalam talian, khususnya untuk kanak-kanak dan golongan muda.
"Ia bertujuan bagi menggalakkan perubahan tingkah laku terhadap risiko dalam talian yang semakin berkembang," katanya.
Namun, beliau berkata hanya terdapat sedikit bukti kukuh mengenai keberkesanan kempen dalam membimbing inisiatif masa depan dan memastikan pelaburannya membuahkan hasil.
"Banyak kempen sekadar meningkatkan kesedaran tanpa membuktikan keberkesanannya dalam mengubah tingkah laku.
"Justeru, penting untuk setiap kempen dinilai secara menyeluruh dan hasilnya dikongsi bersama di peringkat antarabangsa bagi memastikan keberkesanan serta pelaburan yang berbaloi," katanya.
Sara turut menambah bahawa kempen kesedaran perlu disesuaikan dengan konteks tempatan bagi memastikan ia benar-benar memberi kesan kepada pengguna internet muda.
"Membentuk kandungan bersama rakan tempatan dan golongan muda amat penting bagi memastikan ia selari dengan norma budaya serta memenuhi hak mereka.
"Sekiranya kempen 'diimport' dari negara lain, ia perlu melalui proses penyesuaian budaya yang menyeluruh," katanya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak 2021 lagi telah menasihatkan pengguna internet lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat peribadi di platform janji temu.
Pada 2023, sebanyak 935 kes penipuan cinta dilaporkan di Malaysia, dengan 196 melibatkan mangsa lelaki.
Namun, pihak berkuasa percaya jumlah sebenar adalah lebih tinggi kerana ramai mangsa lelaki enggan melaporkan kejadian.