suria

Kebakaran saluran paip utama Petronas: 6 mangsa cedera dibawa ke hospital

Keadaan mangsa kebakaran saluran paip utama gas berlaku pada Selasa.

USAHA pemadaman dan pemindahan penduduk masih giat dijalankan susulan kebakaran saluran paip utama penyimpanan gas milik Petronas berhampiran Putra Heights, Puchong pada Selasa.

Perkara itu disahkan oleh Petronas Gas Berhad menyatakan kebakaran berlaku di saluran paip utamanya pada 8.10 pagi.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) telah ditempatkan di lokasi bagi mengawal sebarang risiko tambahan akibat kebocoran gas.

Kebakaran tersebut melibatkan paip gas sepanjang 500 meter di sebuah stesen minyak di Jalan Putra Harmoni, berhampiran kawasan perumahan di Kampung Kuala Sungai Baru. 

Seramai 41 anggota dari sembilan balai bomba bersama 17 jentera telah dikerahkan bagi mengawal kebakaran dan membantu memindahkan penduduk.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk panik api marak menjulang, saluran utama penyimpanan gas terbakar

Sehingga pukul 11 pagi, seramai 30 mangsa telah menerima rawatan awal di Kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Tujuh mangsa, termasuk dua warga emas, berjaya diselamatkan daripada insiden tersebut. 

Empat mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang, manakala dua lagi menerima rawatan di Hospital Cyberjaya.

 

 
 
 
 
 
 

 

Beberapa gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan mangsa mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan akibat kebakaran.

Operasi pemadaman turut melibatkan bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, BBP Shah Alam, BBP Jelutong, BBP Cyberjaya, BBP Rawang, BBP Klang Selatan, BBP Klang Utara, BBP Damansara, BBP KLIA, dan BBP Serdang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, telah mengaktifkan pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights bagi menempatkan penduduk yang terjejas. 

Sementara itu, pihak Petronas telah menutup injap saluran paip bagi mengawal keadaan, namun operasi pemadaman masih diteruskan.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar turut mengesahkan pemantauan kualiti udara sedang dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar. 

Dalam perkembangan lain, bekalan elektrik yang sebelum ini terjejas di kawasan Subang Jaya akibat kebakaran kini telah pulih sepenuhnya.

Artikel Lain