SALURAN paip utama penyimpanan gas dipercayai milik Petronas dilaporkan terbakar dalam kejadian di Putra Heights, Puchong yang mencetuskan panik penduduk sekitar.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 8 pagi itu menyaksikan api marak tinggi dan merebak ke kawasan berhampiran, seperti yang dapat dilihat menerusi penstriman langsung di media sosial.
Penduduk setempat bukan sahaja dapat melihat kepulan asap tebal malah turut merasai bahang kebakaran, di samping terdengar bunyi letupan serta bau gas yang kuat.
Pasukan Bomba dan Penyelamat dilaporkan telah tiba di lokasi kejadian bagi mengawal situasi dan memadamkan kebakaran.
Menurut laporan Astro Awani, kejadian dipercayai berpunca daripada kebakaran saluran paip gas, menyebabkan nyalaan api tinggi ke udara.
Ketika ini, pelbagai video kejadian sudah mula tular di media sosial, termasuk perkongsian daripada halaman Facebook Putra Heights Residents yang memaparkan detik-detik kebakaran tersebut.