TRAGEDI kebakaran saluran paip gas di Putra Height, Subang Jaya pada Selasa masih lagi kecoh diperkatakan di media sosial.
Selain bersimpati dengan nasib mangsa serta penduduk setempat, ramai yang turut mempersoalkan punca kejadian berkenaan.
Malah, timbul pula tangkap layar perbualan WhatsApp yang mendakwa berlakunya pencerobohan tanah rizab PETRONAS sebelum kebakaran itu tercetus.
Tangkap layar tular itu memaparkan mesej antara dua individu yang bertarikh 17 Disember.
"Masuk rizab PETRONAS dah. Kena report ni PETRONAS. Dia tercucuk paip tu meletup sampai rumah kau nanti.
"Main selamba je diaorang ni. Dah masuk pagar dah, dia dah robohkan pagar tu," tulis pengirim mesej itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa kebakaran lari bawa bayi, kucing pula hilang... Bingung pintu bergegar tapi tiada angin
Dalam pada itu, polis juga memaklumkan akan menyiasat dakwaan punca kebakaran itu disebabkan oleh kerja mengorek di tanah rizab PETRONAS.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pemeriksaan di lokasi kejadian juga akan dijalankan oleh PETRONAS dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Kita terima semua maklumat termasuk dakwaan berlakunya kerja korek tanah di situ sehingga menyebabkan kebakaran.
"Kita akan siasat semua itu dan jika benar ada berlaku, kita nak tahu siapa yang melakukan kerja-kerja mengorek itu," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Untuk rekod, kebakaran saluran paip gas bocor di Jalan Putra Harmoni Putra Height itu dilaporkan berlaku kira-kira 8.10 pagi, Selasa.
PETRONAS Gas Berhad (PGB) dalam satu kenyataan kemudiannya mengesahkan berlaku kebakaran di saluran paip utama di lokasi itu.
Pada hari sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan dan PETRONAS akan menyalurkan bantuan segera buat mangsa-mangsa kebakaran berkenaan.