suria

Bantuan RM5,000 dan RM2,500 untuk mangsa kebakaran saluran gas - PM

Anwar berkata mangsa kebakaran saluran gas akan menerima bantuan segera. -Foto Bernama

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan dan PETRONAS akan menyalurkan bantuan segera buat mangsa-mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Height, Subang Jaya.

Anwar membuat pengumuman itu menerusi sidang media yang diadakan di lokasi kejadian pada petang Selasa.

"Untuk langkah segera dalam satu atau dua hari ini, PETRONAS dan kalau perlu, Kerajaan Persekutuan akan lihat keperluan menambah (bantuan), bagi rumah yang rosak sepenuhnya itu diberikan RM5,000 segera.

"Itu supaya mereka dapat belanja sementara dan yang mana (sedikit) terkesan itu, (bantuan akan diberikan) RM2,500," ujar Anwar.

Menurut Anwar, usaha memulihkan kawasan perumahan itu juga akan diuruskan oleh kerajaan dan PETRONAS.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa kebakaran lari bawa bayi, kucing pula hilang... Bingung pintu bergegar tapi tiada angin

"Tanggungjawab memulihkan kawasan perumahan ini, perbaiki atau ganti, itu kita akan ambil sepenuhnya (oleh) Kerajaan Persekutuan, PETRONAS dan kerjasama kerajaan negeri.

"Itu saya harap (mangsa) jangan bimbang, cuma ia mengambil masa sahaja," ujar Anwar sambil menambah penduduk belum dibenarkan pulang ke kediaman mereka buat masa ini.

Setakat 3.40 petang, sebanyak 109 unit rumah serta 148 kereta dan 11 motosikal rosak akibat kejadian itu.

Dalam perkembangan lain, Bomba Selangor memaklumkan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 3.45 petang.

Terdahulu, mStar melaporkan berlaku kebakaran saluran paip gas bocor di Jalan Putra Harmoni Putra Height, kira-kira 8.10 pagi.

PETRONAS Gas Berhad (PGB) dalam satu kenyataan kemudiannya mengesahkan berlaku kebakaran di saluran paip utama di lokasi itu.

Artikel Lain