suria

Mangsa kebakaran lari bawa bayi, kucing pula hilang... Bingung pintu bergegar tapi tiada angin

Tangkap layar video-video yang dikongsi oleh penduduk sekitar.

KEBAKARAN saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Height, Subang Jaya pada pagi Selasa terus menjadi bualan warga maya.

Di media sosial, mangsa-mangsa yang terdiri daripada penduduk sekitar turut berkongsi pengalaman mereka serta rakaman cemas kejadian itu.

Seorang pengguna TikTok, Aliff Fo'ad memuat naik video api marak yang dirakam dari kediamannya.

Menjawab komen-komen netizen, Aliff berkata dia dan keluarganya sempat melarikan diri ketika kediaman jirannya sudah marak terbakar.

"Kami tinggal betul-betul tepi saluran gas, ia bermula seperti gempa bumi, rumah bergegar, rumah sebelah terbakar.

"Memang ujian besar raya kedua. bayangkan, bangun pagi dengar bunyi pusaran api yang mengganas, Allah Maha Berkuasa.

SUBANG JAYA, 1 April --Keadaan jalan dan rumah di sekitar Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong dilihat terkesan akibat kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya.Setakat jam 4 petang ini, seramai 112 mangsa dipindahkan ke pusat penempatan sementara a (PPS), 63 cedera dan dirawat di tiga hospital dan 190 rumah terjejas dalam insiden tersebut.--fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Antara kereta penduduk yang musnah dalam kejadian itu. -Foto Bernama

"Kami sempat ambil bayi dan memecut keluar. Rumah sebelah dah terbakar. Isteri sedikit trauma, pernafasan bayi dah okay," kongsinya.

Menjawab komen netizen tentang nasib haiwan di situ, dia mendedahkan seekor kucingnya turut hilang.

Namun dalam kemas kini terbaharu, dia mendedahkan kucingnya itu berjaya ditemui semula beberapa jam kemudian.

Seorang lagi pengguna TikTok, Domi Khun mendedahkan rumahnya terletak kira-kira 900 meter dari Petronas Putra Height.

Menurut Domi, kediamannya mula bergegar kira-kira pukul 8 pagi sebelum dia terdengar letupan kuat yang mengejutkan seluruh keluarganya.

"Sebelum pukul 8 pagi, sliding door rumah bergegar tak berhenti. Ingat angin ke apa. Kami periksa tiada angin.

SUBANG JAYA, 1 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di pusat operasi PDRM dan JBPM di Taman Putra Harmoni bagi koordinasi penugasan susulan kejadian kebakaran saluran paip gas bocor pada 4.58 petangSetakat jam 4 petang ini, seramai 112 mangsa dipindahkan ke pusat penempatan sementara a (PPS), 63 cedera dan dirawat di tiga hospital dan 190 rumah terjejas dalam insiden tersebut.--fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Anwar tiba di lokasi kejadian pada petang Selasa. -Foto Bernama

"Tak lama lepas tu bunyi letupan kuat kedengaran, bergegar teruk pintu-pintu rumah. Terpinga-pinga satu keluarga.

"Mereka yang duduk berdekatan dengan stesen lagi teruk impaknya," tulis Domi.

Sementara itu, seorang lagi individu dikenali sebagai Airis Bunga mendedahkan dirinya mengalami kecederaan ketika sedang melarikan diri daripada kebakaran itu.

"Dugaan 2 Syawal. Rumah betul-betul bawah (kawasan terbakar) ni. Kereta dah cair. Nak lari tadi pun melecur.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk panik api marak menjulang, saluran paip gas utama terbakar

ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran saluran paip gas semakin berkurang, saksi kongsi video gelongsor taman permainan cair

"Ya Allah, moga kau mudahkan segala urusan kami," tulisnya pada kapsyen video TikTok yang dimuat naik.

Terdahulu, mStar melaporkan berlaku kebakaran saluran paip gas bocor di Jalan Putra Harmoni Putra Height, kira-kira 8.10 pagi.

PETRONAS Gas Berhad (PGB) dalam satu kenyataan kemudiannya mengesahkan berlaku kebakaran di saluran paip utama di lokasi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir ke lokasi kejadian, kira-kira 4.50 petang, Selasa.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari, Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Michelle Ng dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

 

Artikel Lain