POLIS sedang memburu tiga individu yang dipercayai terlibat dalam dua kejadian samun menyebabkan kecederaan seorang wanita di daerah Segamat, Johor pada Khamis lalu.
Salah satu insiden dilaporkan berlaku di Taman Astakajaya 1, Buloh Kasap, manakala lokasi kejadian kedua masih belum dapat dikenal pasti, namun dipercayai berlaku di kawasan Taman Sejati.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kes di Taman Astakajaya, suspek meragut seorang wanita yang ketika itu berada di luar rumah sebelum beredar dengan menaiki sebuah motosikal.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya mengesan rakaman video yang tular itu di media sosial.
“Polis mengesahkan menerima laporan daripada mangsa wanita dan siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 7.08 petang di Taman Astakajaya 1.
“Ketika kejadian, mangsa bersama dua rakan didatangi tiga lelaki tidak dikenali dengan menaiki dua motosikal lalu salah seorang suspek merentap rantai emas dipakai mangsa.
“Kejadian turut menyebabkan mangsa cedera selepas terjatuh dan dirakam melalui CCTV di kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan.
Ketiga-tiga suspek dipercayai menaiki motosikal jenis Kawasaki Ninja RR50 berwarna biru dan Yamaha Y15ZR hijau, serta memakai topi keledar berpenutup gelap.
Nombor pendaftaran motosikal tidak dapat dikenal pasti setakat ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222 atau tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.