KEPUTUSAN kerajaan mewajibkan pendidikan peringkat menengah bakal memberi manfaat kepada golongan murid warganegara, khususnya kalangan berpendapatan rendah (B40) dan mereka yang kurang mendapat akses pendidikan.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan, berkata apabila Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 diluluskan, ia akan membantu menjamin masa depan mereka dan negara.
Jelasnya, peluang untuk melanjutkan pelajaran dan mengembangkan pilihan kerjaya akan menjadi terhad tanpa pendidikan menengah.
"Apabila murid tidak meneruskan pendidikan menengah, mereka tidak akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Mereka juga tidak akan memperoleh sijil SPM atau kelayakan lain yang setaraf. Jadi, ini akan mengehadkan peluang pekerjaan mereka di masa hadapan,” katanya.
Azman berkata demikian dalam satu taklimat khas mengenai rang undang-undang (RUU) tersebut pada 19 Mac lalu.
Tambahnya lagi, memastikan kanak-kanak kekal bersekolah dapat melindungi mereka daripada terjebak dalam masalah gejala sosial.
"Pada skala yang lebih besar, kita dapat membentuk modal insan yang berilmu, berkemahiran, berdaya saing dan inovatif," ujarnya.
Pelaksanaan pendidikan wajib
Dalam pada itu, Azman memaklumkan RUU tersebut dirangka untuk mewujudkan perundangan tersusun bagi pelaksanaan pendidikan wajib di peringkat menengah, sebagai lanjutan kepada pendidikan wajib peringkat rendah.
Bukan itu sahaja, ia juga bertujuan untuk menangani isu keciciran murid dan perkahwinan bawah umur, kerana murid perempuan perlu menamatkan pendidikan mereka sehingga usia 17 tahun.
Menurutnya, kadar keciciran murid dijangka berkurang sekiranya lebih ramai murid meneruskan pelajaran ke peringkat menengah rendah dan menengah atas.
Selepas dasar mewajibkan pembelajaran peringkat rendah diperkenalkan pada 2003, kadar pendaftaran meningkat daripada 92.9 peratus pada tahun itu kepada 96.78 peratus pada 2007, melebihi kadar enrolmen sejagat UNESCO iaitu sebanyak 95 peratus.
Sehingga tahun lalu, kadar pendaftaran sekolah rendah mencapai 99.39 peratus, berbanding kadar pendaftaran sekolah menengah yang masih di bawah kadar pendaftaran sejagat iaitu sebanyak 94.86 peratus.
"Saya percaya kadar penyertaan murid di sekolah menengah akan mengikuti trajektori peningkatan yang sama seperti sekolah rendah sebaik sahaja ia diwajibkan," jelasnya.
Turut hadir ke sesi taklimat berkenaan adalah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Azman yakin dasar ini bakal membuka peluang pekerjaan yang luas buat murid warganegara Malaysia.
Bantuan yang disediakan
Sementara itu, kerajaan memperkenalkan 18 program bantuan persekolahan bagi menyokong keluarga yang menghadapi kekangan ekonomi untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Menurut Fadhlina, antara program tersebut termasuklah Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 untuk setiap murid, Program Makanan Tambahan (RMT), Biasiswa Persekutuan dan buku teks percuma.
"Pendidikan di sekolah kerajaan sudah percuma. Bantuan kewangan disediakan untuk menampung kos tambahan seperti buku, makanan, dan pakaian seragam," katanya.
Kanak-kanak di luar bandar juga berpeluang untuk mendaftar dan menamatkan persekolahan di satu lokasi menerusi program Sekolah Model Khas Komprehensif Sembilan (K9) dan Sekolah Model Khas Komprehensif Sebelas (K11).
Jelasnya lagi, jumlah sekolah-sekolah ini sedang ditambah bagi membolehkan lebih ramai murid bersekolah tanpa perlu berjalan jauh.
Malah, dengan penambahan kemudahan sekolah berasrama penuh akan menghapuskan halangan geografi dan masalah pengangkutan yang menyukarkan akses ke sekolah.
Selain itu, kanak-kanak yang perlu menyara keluarga pula dibenarkan untuk bekerja, dengan syarat mereka tidak boleh mengorbankan pendidikan.
Menerima maklum balas positif, Fadhlina menyifatkan RUU tersebut sebagai langkah penting dan signifikan dalam memastikan kualiti sistem pendidikan.
"Kami telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan mereka yang berada di lapangan dan respons yang diterima amat positif.
"Orang ramai mahu pendidikan menengah diwajibkan kerana ia merupakan cara untuk mendemokrasikan pendidikan, memastikan semua kanak-kanak Malaysia menerima pendidikan yang adil, sama rata dan berkualiti," ujarnya.
Dasar pendidikan wajib sekolah menengah bakal dibentangkan pada Jun
Inisiatif ini digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. -Gambar hiasan
Pindaan terhadap Seksyen 2 dan 29(A) serta penambahan Seksyen 32(A) dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) akan mengembangkan lagi pendidikan formal wajib dengan merangkumi sekolah menengah.
Usaha meminda akta tersebut bermula pada 1 Januari 2023, dengan Kabinet memberikan kelulusan dasar untuk pindaan Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] berkenaan pendidikan wajib pada tahun lalu.
Menurut Azman, pindaan ini dijangka dibentangkan apabila Dewan Rakyat bersidang semula pada Jun depan.
Jelasnya, inisiatif mewajibkan pendidikan menengah untuk kanak-kanak Malaysia turut digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Anjakan 1).
"Pada masa ini, pendidikan wajib hanya meliputi sekolah rendah. Ini adalah peluang untuk memperluaskan pendidikan wajib ke peringkat menengah," katanya.
Tegasnya lagi, RUU tersebut mencerminkan komitmen kerajaan Madani terhadap prinsip ihsan dan reformasi pendidikan.
Negara-negara maju juga telah mewajibkan pendidikan peringkat menengah misalnya, Kanada (10 tahun), Finland (11 tahun), United Kingdom (11 tahun) dan Jerman (13 tahun).
RUU ini merangkumi murid yang mengikuti pendidikan vokasional dan agama. -Gambar hiasan
Bukan itu sahaja, murid yang mengikuti pendidikan vokasional dan agama mestilah mendaftar di institusi pendidikan kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, atau institusi swasta di bawah Kementerian Pendidikan, serta institusi pendidikan berdaftar yang ditubuhkan di bawah akta dan enakmen kerajaan persekutuan atau negeri.
Ibu bapa atau penjaga boleh dikenakan denda sehingga RM5,000, hukuman penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya jika gagal menghantar anak ke sekolah menengah.
Namun, Azman menekankan bahawa tindakan undang-undang adalah langkah terakhir, sebaliknya, kementerian, sekolah, dan guru akan menggunakan pendekatan lebih berhemah untuk memastikan pematuhan dalam kalangan ibu bapa.
"Semua usaha ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menamatkan pendidikan menengah dan memperoleh sijil SPM," ujarnya.
Langkah sedia ada termasuk usaha advokasi dan intervensi, seperti lawatan rumah (ziarah cakna) oleh kementerian, guru, dan komuniti dilaksanakan bagi memahami sebab-sebab ketidakhadiran murid.
Azman bagaimanapun memberitahu pengecualian pendidikan wajib boleh diberikan bagi kes tertentu namun hendaklah dengan kelulusan Menteri, misalnya seorang murid mengalami penyakit kritikal yang menghalangnya daripada bersekolah.
Dasar yang diperkenalkan menjamin hak mendapatkan akses pendidikan berkualiti. -Gambar hiasan
Antara keperluan melaksanakan pendidikan wajib peringkat menengah adalah:
1. Menjamin hak mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti
2. Memenuhi keperluan negara menua
3. Membangunkan modal insan
4. Meningkatkan kesejahteraan
5. Memupuk kerjasama