suria

Tragis! 3 maut terperangkap dalam lubang pembetung

Pasukan bomba termasuk orang awam membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam lubang pembetung. Foto Bomba Perak

TIGA lelaki, termasuk seorang pekerja asing, maut selepas terperangkap dalam lubang saluran pembetung di sebuah tapak pembinaan di Kampung Ibol, Lenggong di Gerik, Perak.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, dua mangsa berusia 29 dan 37 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pekerja asing dari Indonesia meninggal dunia di hospital.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan mengenai tujuh mangsa yang terperangkap dalam lubang saluran pembetung, kira-kira pukul 10 pagi Ahad.

"Mereka sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di dalam lubang pembetung sedalam 2.4 meter.

"Lima daripada mereka dapat dibawa keluar oleh orang awam dan dihantar ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan.

Sabarodzi memberitahu, anggota bomba kemudian turun ke dalam lubang untuk mengeluarkan dua lagi mangsa yang masih terperangkap.

"Kakitangan perubatan kemudian mengesahkan kematian mereka, dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," tambahnya.

Artikel Lain