SEORANG anggota tentera berusia 35 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan atas tuduhan mencederakan seorang wanita pada hujung Mac lalu.
Abdul Hafiz Abu Bakar, yang dihadapkan dengan pertuduhan pada Isnin, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dan minta dibicarakan semula, di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Menurut pertuduhan, Hafiz didakwa sengaja menumbuk kepala seorang wanita berusia 28 tahun di Taman Satria, Senawang, dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam pada 29 Mac lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh abang baju merah tumbuk wanita pandu Axia, saksi tampil dedahkan cerita sebenar... Dua kali hayun di kepala!
ARTIKEL BERKAITAN: Individu pukul wanita pandu Axia rupanya anggota tentera… Keluarga takkan tarik balik kes!
Tindakan tersebut diletakkan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal, mencadangkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dikenakan dan meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula untuk kes ini.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, Chrysandy Lai meminta agar jaminan diturunkan kerana anak guamnya menanggung dua anak kecil serta ibu bapa dan isteri.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 19 Mei depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan laporan perubatan penuh.
Hujung Mac lalu, sebuah video tular menunjukkan seorang lelaki berbaju merah menumbuk pemandu wanita yang memandu Perodua Axia.
Lelaki itu bertindak demikian kerana berang anaknya didakwa dilanggar oleh pemandu wanita tersebut.
Menurut penjelasan yang dimuat naik oleh adik kepada pemandu wanita itu di akaun TikTok Fattyaazi, kakaknya telah ditumbuk dua kali oleh pelaku.
Susulan kes itu, individu tersebut meluahkan rasa lega kerana lelaki yang terlibat sudah ditahan pihak polis.