MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk buli yang berlaku di institusi pendidikan di bawah seliaannya termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terhadap satu kejadian yang didakwa berlaku di sebuah MRSM di Pulau Pinang.
“Saya sudah minta pegawai saya siasat segera jika benar peristiwa buli berlaku di MRSM. Jika benar pelajar-pelajar ini adalah pelajar MRSM, tiada kompromi lagi, tindakan tegas pasti akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kenyataan itu dibuat susulan satu video tular berdurasi satu minit, 31 saat di Facebook Utara Kini yang memaparkan seorang remaja dipercayai pelajar MRSM dibuli beberapa rakan di atas katil.
Dalam video tersebut, remaja berkenaan dilihat dilibas dengan tali pinggang, dihenyak oleh beberapa individu lain selain turut diikat kakinya menggunakan tali pinggang.
Mangsa hanya mendiamkan diri ketika dibuli.
Lebih mengejutkan, seorang individu yang memakai kopiah dilihat bertindak ‘mengorek’ bahagian punggung mangsa dari bahagian luar seluar.
Walaupun diperlakukan sebegitu, 'mangsa' kelihatan tidak melawan dan hanya membiarkan dirinya terus dibelasah.
"Ni buli ke melawak kasar? Kejadian dirakam di sebuah MRSM Pulau Pinang.
"Mohon siasatan dijalankan dan memohon supaya perkara sedemikian tidak berulang lagi di mana-mana sekolah berasrama," demikian keterangan pada video tular.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan bahawa budaya buli sama sekali tidak boleh diterima di mana-mana institusi pendidikan Mara, dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku tanpa sebarang kompromi.
“Saya sudah mengingatkan banyak kali semenjak diberikan amanah menjaga Mara, You touch you go!
"Tiada tempat untuk pembuli atau yang cuba membudayakan buli dalam apa jua bentuk di MRSM,” katanya tegas.
Setakat ini, identiti pelajar terlibat masih belum disahkan namun siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi memastikan keadilan ditegakkan dan keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.