suria

Saksi dedah mesej WhatsApp ‘rasa macam nak bunuh orang’, ‘hang belasah je lah sampai puas’ 6 bulan sebelum Zayn Rayyan hilang

Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia pada 6 Disember 2023.

SAKSI pendakwaan ke-25, Asisten Superintendan (ASP) Mohd Zaidi Abu Hassan memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Isnin, bahawa terdapat beberapa mesej perbualan menerusi aplikasi WhatsApp berkaitan Zayn Rayyan Abdul Matin pada hari kejadian kanak-kanak autistik itu hilang pada 5 Disember 2023.

Mohd Zaidi, 43, yang merupakan juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkata antara mesej tersebut adalah 'Zayn hilang', 'dia lari', 'lantaklah nak hidup ke nak mati', 'letih gila aku mencari’.

Menurutnya, kesemua mesej itu adalah antara pukul 12.20 tengah hari hingga 12.59 tengah hari.

Kandungan WhatsApp berkenaan diekstrak daripada dua telefon bimbit  yang mana salah satunya adalah 'iCloud' yang didaftarkan atas nama 'Ismanira' manakala Huawei menggunakan akaun Google atas nama Zaim Ikhwan, serta dua kad sim yang diserahkan oleh pegawai penyiasat kes.

Mohd Zaidi memberi keterangan pada hari ke-14 prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian dihadapi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah tolak permohonan ibu bapa Zayn Rayyan batal tuduhan abai anak

Selain mesej pada 5 Disember 2023, mahkamah turut diberitahu terdapat beberapa perbualan WhatsApp pada 20 Jun 2023 antaranya 'stressnya sampai rasa macam nak bunuh orang je', 'aku nak rehat pun tak leh', 'Hang belasah je lah sampai puas' dan 'Pastu nanti sakit ke mati baru tahu'.

Sementara tu, mesej bertulis 'stress gilalah dengan Zayn ni' dan 'macam nak bunuh diri je sekarang' diekstrak pada 11 Oktober 2023.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.

Perbicaraan bersambung esok.

Pada 13 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersama mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal semasa berada dalam jagaan mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara Damai dari pukul 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam keesokan harinya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, Selangor, pada pukul 10 malam.

Kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang sehari sebelum mayatnya ditemukan.

Artikel Lain