SEORANG lelaki dipercayai terlibat dalam kes culik seorang remaja perempuan, maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis, pada awal pagi Isnin.
Mangsa berusia 16 tahun diculik di Seremban, tetapi dibebaskan selepas dibayar sejumlah wang tebusan.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa diculik pada pukul 5.45 petang,10 April lalu.
"Kumpulan penculik dikatakan meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta, tetapi keluarga mangsa membayar RM280,000 bersama sejumlah barang kemas.
"Mangsa dibebaskan di Sendayan kira-kira pukul 8.30 malam pada 11 April," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan polis membawa kepada beberapa serbuan dan tangkapan.
"Pasukan JSJ berjaya mengesan suspek di sebuah lokasi di Klang. Polis kemudian mengejar sebuah kereta dipandu suspek ke Jalan Bayu Tinggi, Bandar Bukit Tinggi.
"Suspek bagaimanapun enggan memberhentikan kenderaan, malah merempuh kenderaan polis dan melepaskan tembakan.
"Polis berjaya memintas kereta suspek sebelum suspek ditembak mati," ujarnya.
Fadil berkata, suspek dipercayai terlibat dengan kes culik di Seremban.
"Kita turut mengadakan beberapa serbuan dan tangkapan yang dikaitkan dengan kes tersebut," tambahnya.
Menurut Fadil, suspek sebelum ini menggunakan kereta sama untuk menurunkan mangsa di satu lokasi di Sendayan.
Tambahnya, polis menemukan sepucuk pistol dan sebilah parang berdasarkan pemeriksaan yang dibuat.
"Kami turut berterima kasih kepada masyarakat yang membantu menyalurkan maklumat kepada pihak polis sehingga berjaya menumpaskan kumpulan penculik tersebut," katanya. -The Star